Remaja Pengsan Berebut Beli Tiket Bola | ALOR SETAR: Ribuan orang ramai menyerbu Stadium Darul Aman di sini, hari ini bagi membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia malam esok.
Tuan rumah, Kedah dijadual bertemu FELDA United pada jam 8.45 malam, bagi memburu tempat ke final yang dijadualkan pada minggu depan. Tinjauan mendapati, orang ramai mula berpusu-pusu ke kaunter jualan tiket beberapa jam sebelum ia dibuka.
Keadaan itu menyebabkan ramai-ramai berasak-asak dalam barisan sehingga menyebabkan berlaku tolak menolak. Akibatnya, seorang lelaki pengsan selepas dipercayai sukar untuk bernafas. Ia kemudian dibantu orang ramai dan pasukan keselamatan yang berada di kawasan berkenaan.
Menurut laporan BHonline hanya dua kaunter tiket dibuka jam 3 petang tadi sekali gus menyebabkan penyokong bersesak dan berebut untuk mendapatkan tiket. Keadaan itu jelas mengecewakan seluruh penyokong skuad Helang Merah yang menyifatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) perlu mengkaji cara penjualan bagi memastikan ia berjalan lancar. Seorang penyokong, Mohd Hashimie Othman, 22, berkata perkara sama berlaku setiap kali Kedah mara ke pusingan kalah mati Piala Malaysia.
“Ini bukan kali pertama, boleh dikatakan setiap tahun berlaku. Sepatutnya pengalaman lalu harus dijadikan pengajaran kepada KFA untuk cari langkah terbaik untuk selesaikan isu sama,” katanya.
Bagi Mohd Shahril Amran, 18, berharap perkara ini tidak lagi berulang untuk masa akan datang. “Saya minta persatuan perbaiki sistem penjualan tiket demi kebaikan semua penyokong,” katanya.
0 comments:
Post a Comment